|

Kisah ini merupakan suatu kisah yang benar-benar berlaku iaitu beberapa
beberapa hari sebelum umat Islam berpuasa iaitu menyambut kedatangan
Ramadhan 1426H yang penuh berkat. Tujuan penulis menceritakan kisah ini
sebagai pengajaran kepada peragut dan kepada kita semua supaya sentiasa
berhati-hati apabila membawa beg tangan, dompet atau beg terutamanya yang
mengandungi barang berharga.
Kebetulan peristiwa ini berlaku di sebuah Masjid iaitu Masjid Jamek
Makmuriah yang terletak di dalam pekan Sungai Besar di Selangor. Lokasi
masjid ini amat sesuai untuk masyarakat Sungai Besar menunaikan solat
secara berjamaah kerana ia di apit oleh tiga buah sekolah iaitu Sekolah
Rendah Agama Ehya al-Falah dikiri, Sekolah Kebangsaan Seri Makmur di Kanan
dan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar. Berhampiran
Masjid juga terdapat balai polis, komplek Majlis Daerah Sabak Bernam yang
merupakan pusat pentadbiran.
Sewaktu Jamaah Masjid Makmuriah menunaikan solat Zohor iaitu dalam rakaat
kedua, tiba-tiba mereka mereka dikejutkan dengan jeritan seorang wanita
yang terpaksa membatalkan solatnya kerana beg tangannya dicuri oleh seorang
peragut. Walau bagaimana jamaah masjid tetap meneruskan solatnya.
Di waktu itu, ada tiga orang guru dari sekolah berhampiran baru hendak
masuk ke masjid untuk menunaikan solat berjamaah. Mendengar jeritan itu,
mereka terus mengejar peragut itu. Peragut itu melarikan diri ke arah SMK
Sungai Besar tetapi malang tidak berbau, mungkin ini hari malang buat
peragut kerana setelah lama terlepas kali ini tertangkap pula, bak kata
pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah.
Peragut itu dapat ditangkap oleh murid-murid sekolah di situ.
Peragut itu kemudian dibawa ke Masjid, kebetulan memang ramai anggota polis
yang berpakaian biasa solat berjamaah di Masjid Makmuriah. Maka peragut
Melayu berusia awal 20-an itu dibawa ke balai polis. Setelah diperiksa
terdapat banyak kunci pada peragut itu, mungkin selain meragut beliau
menjalankan kegiatan mencuri motorsikal dan sebagainya. Sebelum ini memang
ada berlaku kehilangan motorsikal dan kejadian pecah kereta semasa jamaah
solat di Masjid.
Kadang-kadang penulis terfikir, di akhir zaman ini orang ke Masjid bukan
semata-mata untuk beribadat kepada Allah SWT tetapi ada juga yang bertujuan
untuk melakukan kemungkaran, jika tidak masakan selipar, kasut, pembesar
suara, tong derma, motorsikal hilang dicuri dan kereta dipecah orang. Malah
peragut juga mencari jalan mudah dengan meragut di dalam masjid ketika
jamaah khusyuk solat.
Di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat masjid ditegakkan atas dasar
taqwa dan ia menjadi dasar kepada penegakan masjid-masjid lain kemudiannya.
Masjid yang dididirikan adalah untuk menambat hati agar sentiasa mengingati
Allah SWT walaupun dalam keadaan sibuk mana sekalipun. Masjid dibina
bertujuan memimpin dan membentuk kegiatan masyarakat.
Semoga kisah ini menjadi pengajaran untuk kita semua, berhati-hatilah
semasa membawa barang berharga hatta ketika solat pun kita tidak boleh
lepa.
Wallahu a'lam….
"Sesunggunya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah Tuhan
Semesta Alam"
|